suria

Tangga warna-warni di Batu Caves belum dapat kelulusan?

Tangga Batu Caves yang berwarna-warni. Foto S.S.KANESAN/The Star

TANGGA di Kuil Batu Caves yang berwarna-warni, kini tular di media sosial, mungkin menyebabkan kuil tersebut berdepan dengan masalah berikutan kerja-kerja mengecat dan pengubahsuaiannya belum mendapat kebenaran Jabatan Warisan Negara (JWN).

Ia disebabkan Kuil Sri Subramaniar Swamy yang terletak di puncak tangga itu merupakan tapak warisan negara, disenaraikan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan.

Sebarang permohonan untuk pembangunan perlu melalui jabatan tersebut.

Pada 2015, dalam wawancara bersama StarMetro pada 2015, Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, Tan Sri R Nadarajah berkata, tiga lot yang merangkumi 6.6 hektar di Batu Caves, iaitu Lot 1197, Lot 4557 dan Lot 6020 telah menjadi tapak warisan pada 2012.

Nadarajah menambah, beberapa lokasi lain juga diwartakan, termasuk seluruh kompleks yang menjadi lokasi perayaan Thaipusam setiap tahun.

Aktivis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sentosa, G. Gunaraj memberitahu StarMetro bahawa konservator JWN kurang senang dengan perkara itu kerana kelulusan belum diperoleh daripada mereka sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 40 Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebelum pengubahsuaian dibuat.

"Saya diberitahu bahawa mengikut Akta Seksyen 40, pengurusan kuil perlu merujuk jabatan untuk mengenal pasti kaedah pemuliharaan yang terbaik apabila terdapat sebarang perkembangan atau kerja pengubahsuaian yang dilakukan berdekatan dengan tapak warisan negara.

"Ini untuk memastikan integriti dan warisan struktur warisan dikekalkan," kata Gunaraj.

Jelasnya, pihaknya di JWB memaklumkan bahawa kerja-kerja mengecat dan pengubahsuaian tidak seiring dengan persekitaran, yang boleh "menjejaskan" sesuatu tapak warisan.

Sementara itu, Nadrajah ketika dihubungi berkata, mereka mempunyai kelulusan yang diperlukan untuk meneruskan pengubahsuaian.

"Kerja-kerja mengecat tidak memerlukan kelulusan. Untuk pengubahsuaian, kami mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Oleh kerana kita tidak membina bangunan baru, kita tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada JWN," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, sudah lama tiada rekod kelulusan yang diberikan untuk kerja-kerja di Batu Caves.

"Malah, kami masih menunggu dokumen dan laporan teknikal yang sepatutnya diperlukan untuk membenarkan dari segi undang-undang mengenai struktur dan bangunan di dalam dan sekitar Batu Caves, yang dilakukan sejak lima tahun yang lalu," katanya.

Nadarajah berkata, kerja-kerja pengubahsuaian di tapak Batu Caves bermula awal tahun lalu.

Nadarajah berkata, idea untuk tangga berwarna-warni itu dicetuskan oleh anaknya, Datuk N. Sivakumar, yang merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa itu.

Beliau menambah, tangga berwarna-warni itu akan menarik lebih ramai pelancong melawat kawasan itu dan pengubahsuaian akan menjadikan tempat tersebut lebih selesa untuk beribadat.

Sementara itu, sumber JWN berkata, mereka meneliti perkara tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurusan kuil bagi melihat apakah tindakan yang sewajarnya perlu diambil.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain