suria

Peranti radioaktif 23kg belum dijumpai, dijangka masih ada dalam Selangor

SHAH ALAM: Peranti Penyuraian Radioaktif (RDD) seberat 23 kilogram (kg) yang hilang dari belakang sebuah trak pikap pada awal bulan ini mungkin masih berada di Selangor, kata Komisioner Datuk Mazlan Mansor.

Ketua polis negeri itu berkata setakat ini tiada petanda bahawa RDD tersebut sudah dibawa keluar dari Selangor.

"Kami sedang berusaha keras mencari peranti yang hilang itu.

"Kami juga dibantu oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dalam pencarian ini," kata Mazlan dalam sidang media di ibu pejabat polis Selangor pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Hari Raya Haji yang melibatkan sebanyak 21 lembu dan 21 kambing dikorbankan dan didermakan kepada golongan yang layak.

Menurut sebuah laporan akhbar harian bahasa Inggeris, peranti yang hilang itu adalah peranti radiografi yang mengandungi isotop radioaktif Iridium-192.

Iridium-192 memancarkan radiasi beta dan gamma dengan anggaran separuh hayat selama 73 hari.

Difahamkan bahawa peranti yang boleh menyebabkan penyakit radiasi itu bernilai kira-kira RM75,000.

Polis mencari RDD yang hilang itu kerana khuatir ia digunakan untuk membuat bom jika jatuh ke tangan pihak yang salah.

Pihak berkuasa juga bimbang bahawa RDD boleh menyebabkan pendedahan radiasi besar jika ia dileraikan untuk mendapatkan logamnya. - The Star

Artikel Lain