suria

Musa Aman di Hospital Subang Jaya diselubungi kerahsiaan, kawalan ketat

Musa Aman.

SUBANG JAYA: Tan Sri Musa Aman kembali pulang ke Malaysia tetapi kehadirannya masih lagi menjadi rahsia.

Pengawal peribadi dan pegawai kepada bekas Ketua Menteri Sabah serta anggota polis dapat dilihat berada di kawasan sekitar di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, di tempat beliau mendapatkan rawatan.

Tanda tanya terus menyelubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu, apabila kawalan diperketatkan dengan pegawai hospital tidak membenarkan kehadiran pelawat tanpa izin.

Walaupun semakan pada senarai pendaftaran di hospital tersebut, mengesahkan Musa merupakan salah seorang pesakit yang menghuni di bilik VVIP, tetapi seorang jururawat bertugas mendakwa bilik yang dimaksudkan tidak mempunyai pesakit.

Semasa wartawan The Star menunggu di luar bilik tersebut dengan alasan menunggu pelawat lain, jururawat menegaskan bahawa tiada seorang pun dijadualkan untuk lawatan dan bilik-bilik tersebut adalah kawasan yang tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran.

Jururawat itu kemudian meminta pengawal keselamatan membawa keluar pemberita dari bangunan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dipetik sebagai berkata, prosedur operasi standar (SOP) polis itu menghendaki Musa mendapatkan pengesahan mengenai keadaan kesihatannya di hospital kerajaan.

Beliau berkata bagi tujuan siasatan, pengesahan itu perlu daripada pegawai perubatan kerajaan.

Aziz juga berkata polis turut mempunyai SOP berkaitan penyiasatan terhadap Musa termasuk hal berkaitan penahanan reman.

Musa yang menghilangkan diri sejak Mei lalu, tiba di tanah air pada Selasa. Pesawat membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, pukul 6.45 petang.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu pada 26 Jun lalu mengesahkan beliau berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi serta telah meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu.

Musa dikehendaki berikutan laporan polis atas dakwaan membuat ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa Aman

Artikel Lain