suria

50 sumbu badak, sembilan bangkai hidupan liar dirampas

Kakitangan Perhilitan menunjukkan 50 batang disyaki sumbu badak dengan berat 116 kilogram yang dirampas di KLIA pada sidang media khas, Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 50 batang sumbu badak dan sembilan bangkai hidupan liar spesies karnivor yang dianggarkan bernilai RM48.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata susulan maklumat yang diterima daripada Jabatan Kastam di KLIA pihaknya menjalankan pemeriksaan dan menemui kesemua sumbu badak dan bangkai hidupan liar seberat 316 kilogram itu di dalam 10 kotak.

Menurutnya, sumbu badak dan bangkai hidupan liar itu disyaki akan dieksport ke Vietnam bagi tujuan perubatan dan setiap satu kilogram sumbu badak berkenaan dijual dengan harga US$100,000.

“Kesemua hidupan liar ini telah dirampas dan konsainan ini dipercayai cuba dieksport keluar daripada negara ini tanpa sebarang permit yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan, di Cheras di sini, Isnin.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti spesies haiwan karnivor yang telah dirampas.

“Siasatan bagi mengenal pasti pemilik konsainan ini masih dijalankan. Berdasarkan siasatan awal terdapat maklumat palsu yang digunakan dalam dokumen berkaitan, “ kata Abdul Kadir.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan juga akan berkerjasama dan bertukar maklumat dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dalam menyiasat kes ini berikutan ia melibatkan jenayah rentas sempadan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggotanya Ahmad Tarmizi Ahmad Japli,30, yang memasuki hari kesembilan masih lagi diteruskan.

Menurutnya, sehingga kini pasukan SAR telah melakukan pencarian seluas 30 kilometer persegi dengan kekuatan 172 anggota daripada pelbagai agensi.

“Pihak jabatan juga telah membina helipad di kawasan Taman Negara bagi melancarkan operasi SAR dan pencarian melalui udara... sehingga kini sebanyak enam pencarian melalui udara telah dijalankan,” katanya.

Pada 11 Ogos lepas, Ahmad Tarmizi dilaporkan dikhuatiri sesat ketika mengumpul data mengenai harimau di bawah program Kajian Harimau Negara di Taman Negara, Jerantut, Pahang.

Ahmad Tarmizi dilaporkan masuk ke hutan berkenaan menerusi Felda Kecau 11, Kuala Lipis bersama empat lagi rakannya bagi menarik keluar perangkap kamera yang dipasang sebelum disedari hilang di kawasan lereng bukit kira-kira 4 petang. - BERNAMA

Perhilitan, sumbu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pencabul bersiri ditahan

Artikel Lain