suria

Lelaki tetak jiran guna cangkul

Gambar hiasan cangkul.

BUTTERWORTH: Seorang lelaki cedera  parah ditetak dengan sebatang cangkul oleh jirannya dalam satu pertengkaran di rumah mangsa di Kampung Manggis di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata isteri mangsa melaporkan kejadian itu kepada  polis setelah  melihat tangan kanan  suaminya cedera  parah  akibat ditetak  dengan cangkul oleh jirannya.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 34 tahun itu telah datang ke rumah mangsa lalu merosakkan kotak fius elektrik dan paip air rumah sebelum dia memaki hamun mangsa sambil memegang cangkul sebelum menghayunnya  terkena tangan kanan mangsa.

"Sebelum kejadian itu mangsa telah membuat laporan polis kerana suspek mengugut hendak mencederakannya  menggunakan sebilah parang dipercayai berpunca perselisihan faham antara mereka sebelum ini,"kata Noorzainy pada Sabtu.

Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan doktor mendapati tangan kanan lelaki itu luka dan retak akibat kejadian berkenaan.

Noorzainy berkata susulan kejadian itu, polis menahan suspek di Kampung Manggis pada pukul 11 malam tadi dan merampas sebatang cangkul yang digunakan lelaki berkenaan dalam insiden tersebut.

"Lelaki yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut.Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan 10 lelaki termasuk lapan remaja berusia 15 hingga 28 tahun kerana berlumba haram serta merempit di Lebuhraya Lingakaran Luar Butterworth (BORR) di sini dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di kawasan berkenaan awal pagi ini dan awal pagi semalam.

"Dalam operasi bermula pukul 12.30 hingga 7 pagi semalam, seramai lapan remaja termasuk enam pelajar sekolah ditahan manakala dua lagi ialah pekerja cuti kereta dan pesawah.“Mereka ditahan ketika sedang berlumba dan ujian air kencing mendapati pesawah berkenaan positif dadah,"katanya.- Bernama

Tetak, cangkul

Artikel Lain