suria

Bilqis Hijjas lega tuduhan menghina lepas belon kuning digugurkan dalam bulan Merdeka

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akhirnya memutuskan untuk membebaskan jurulatih tarian, Bilqis Hijjas yang melepaskan belon pada majlis yang dihadiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dia didakwa menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan yang mungkin menyebabkan keamanan terganggu di pusat beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang menerusi kejadian pada 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan tidak akan meneruskan rayuan itu.

"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan. Walau bagaimanapun, terdapat perkembangan baharu. Pemohon tidak mahu meneruskan rayuan itu," kata Hafizah.

Ketika ditemui di luar bilik perbicaraan, Bilqis mengakui lega dengan keputusan itu.

"Saya sangat berbesar hati apabila dibebaskan dalam bulan Merdeka dan berharap perkara sama akan berlaku ke atas individu lain yang mempunyai tuduhan seperti saya yang menentang mereka,' ujarnya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang juga anak kepada arkitek terkenal, Hijjas Kasturi melepaskan belon dari tingkat lima pusat membeli-belah Pavilion pada 31 Ogos 2015.

Pada waktu itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di sana bagi menghadiri acara Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur DiverseCity 2015.

Belon yang dilepaskan Bilqis tertera cetakan perkataan "demokrasi", "media bebas" dan "keadilan".

Wanita berusia 39 tahun itu diwakili peguam Eric Paulsen.

Bilqis pada asalnya didakwa atas kesalahan itu pada 23 September 2015 tetapi dibebaskan oleh mahkamah majistret pada akhir kes pendakwaan pada 1 Julai 2016.

Pihak pendakwa merayu keputusan itu dan Mahkamah Tinggi mengarahkannya untuk membela diri pada 3 Oktober 2017.

Pada akhir kes pembelaan, majistret membebaskan dan melepaskan Bilqis untuk kali kedua pada 27 November 2017.

Pendakwaan merayu keputusan ini pada 4 Disember 2017.

Bilqis Hijjas, Najib Razak

Artikel Berikut

Artikel Lain