suria

Kepulangan Anwar ke i-City pada ambang Hari Kebangsaan selepas 21 tahun

SHAH ALAM: Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke i-City di Shah Alam pada 30 Ogos ini dianggap sebagai sebuah kepulangan buat beliau kerana pernah merasmikan 'ultrapolis' berkeluasan 29 hektar itu pada 1997 ketika bergelar Timbalan Perdana Menteri.

"Lawatan Anwar ke i-City pada petang Hari Kebangsaan adalah sebuah kepulangan beliau selepas 21 tahun.

"Kami gembira Anwar dijadualkan untuk merasmikan pengiraan detik sambutan tersebut," kata pengerusi eksekutif i-Bhd Tan Sri Lim Kim Hong pada Rabu.

Kata Lim, beliau menjangkakan seramai 40,000 pengunjung akan hadir kerana kemunculan Anwar.

Tambah beliau, Anwar merupakan pemimpin yang berwawasan kerana berhasrat melihat i-City sebagai satu bandar pintar terbaik di negara ini.

Menurut Lim, i-City akan dimeriahkan dengan bunga api pada detik tengah malam sambutan Hari Kebangsaan 2018, selain diserikan dengan acara kebudayaan.

Pengunjung muzium interaktif lilin i-City Red Carpet 2 berpeluang menyaksikan babak di mana Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan.

"Detik bersejarah Tunku mengumumkan kemerdekaan di Dataran Merdeka pada 1957 akan dilakonkan semula di muzium lilin interaktif Malaysia yang pertama," kata Lim. - Bernama

Anwar Ibrahim, i-City

Artikel Lain