suria

Kapten besar hati bawa pulang kapal Equanimity ke Malaysia

KLANG: Kru kapal layar mewah Equanimity berbesar hati untuk membawa pulang kapal tersebut kembali ke Malaysia, kata kaptennya.

Oystein Senneseth (gambar) dari Bergen, Norway berkata, kru kapal berasa lebih tenang kini berbanding ketika terdapat pasukan polis bersenjata di atas kapal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kapal mewah Equanimity tiba di Pelabuhan Klang

"Secara jujurnya, pada awalnya kami berasa bimbang. Ia adalah pengalaman baharu buat semua orang.

"Namun, mereka dapat membiasakan diri tidak lama selepas itu," katanya kepada pemberita pada Rabu di Terminal Boustead Cruise Centre di sini.

Terdapat seramai 18 kru kapal dari pelbagai negara berkhidmat di atas kapal mewah itu untuk tempoh tiga minggu.

Senneseth berkata, kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa melayan mereka dengan baik dan beliau amat menghargainya.

"Ia satu pengalaman baharu buat saya dan paling penting adalah menjalankan tugas dengan sebaiknya," katanya.

Kapal Equanimity yang didakwa milik usahawan yang dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low berlabuh di terminal itu pada pukul 1 petang Selasa, sambil diiringi oleh empat bot Polis Marin.

Pada Februari lalu, kapal itu disita atas arahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan Jabatan Kehakiman (DoJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Equanimity

Artikel Lain