suria

Enggan mengemis, bekas wartawan jual pokok langsai hutang

Selepas projek sangkar ikan yang diusahakannya terpaksa berhenti di tengah jalan, Khaidir kini menjual pokok untuk memulihkan kembali kehidupannya sekeluarga.

PETALING JAYA: Bukan ingin mengemis, jauh sekali meraih simpati, tetapi bekas pengarang berita TV3, Mohd Khaidir Ahmad kini terpaksa memperhebatkan promosi penjualan pokok yang menjadi sumber rezekinya untuk meneruskan hidup.

Menganggap dirinya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, keperitan hidupnya bermula apabila mengalami kerugian hampir RM2 juta selepas banjir besar menenggelamkan rumah dan sangkar ikan yang diusahakannya di Temerloh, Pahang pada 2014.

Baru ingin bertatih semula dengan membuat pembiayaan pinjaman berjumlah RM250,000 daripada Agrobank untuk membina projek sangkar ikan baharu, Khaidir mendakwa impiannya musnah apabila terpaksa memberi laluan kepada projek pam pasir oleh Pejabat Tanah Daerah Temerloh.

Kini, beliau dalam kesusahan kerana terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 dan kos RM10,000 kepada penolong pentadbir tanah Temerloh setelah gagal dalam kes saman fitnah pada April tahun lalu.

Ia berikutan tindakannya membuat kritikan terbuka terhadap Pejabat Tanah Daerah Temerloh yang mengeluarkan notis untuk memusnahkan sangkar ternakan ikan di Sungai Pahang melalui posting di laman Facebook.

Beliau yang juga bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dan Parlimen Temerloh kehilangan deposit sebanyak RM5,000 dan RM10,000 pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Khaidir kini mengusahakan perniagaan Hybrid Nursery di Temerloh.

"Saya mengiklankan perniagaan jual pokok ini dan meminta bantuan daripada mereka yang prihatin untuk memulihkan semula kehidupan.

"Saya tidak mahu terima derma atau meminta-minta daripada orang, tapi biarlah saya cari rezeki dengan cara bermaruah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Selain terpaksa membayar ganti rugi tersebut, Khaidir juga perlu membayar ansuran pinjaman sebanyak RM5,000 sebulan kepada pihak bank biarpun projek ikan sangkar itu tiada di depan mata.

Beliau bagaimanapun terharu dengan rakan-rakan wartawan yang tidak pernah melupakannya dan kadangkala menghulurkan bantuan kewangan untuk meringankan bebannya.

Khaidir menyerahkan anak pokok durian kepada pelanggannya.

Tambahnya, beliau juga terpaksa mengemis hampir RM50,000 daripada beberapa penghutang yang membeli pokok-pokoknya tetapi gagal membuat bayaran penuh.

"Dengan hasil duit jual pokok inilah saya nak tanggung anak isteri dan sanggup menjelajah seluruh Semenanjung untuk menghantar pokok kepada pelanggan.

"Bantuan seperti ini bukan sahaja membantu saya dan keluarga untuk membayar saman, tetapi memulihkan perniagaan dan kehidupan masa depan," ujarnya.

Julat harga bagi sebatang anak pokok di Hybrid Nursery adalah serendah RM25 hingga RM200.

Bagi mereka yang berminat boleh membuat pesanan di talian 013-928 8288 atau berkunjung ke nurseri beliau yang terletak di Kampung Durian Tikus, Temerloh.

Khaidir Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain