suria

"Parlimen tak tempah daging Wagyu"

Menu sajian daging wagyu yang tular di Twitter sejak malam Selasa.

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan hidangan mewah semasa majlis perasmian sidang Dewan Rakyat hanya salah faham, malahan nilai menu berasaskan daging itu bukannya mencecah RM2,000 sekilogram seperti tular di media sosial.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed dalam kenyataan kepada mStar Online menjelaskan hidangan tersebut tidak ditempah pengurusan Parlimen.

Sebaliknya, beliau berkata, sajian itu adalah menu tambahan yang disediakan pihak katerer bagi meraikan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

"Untuk makluman, Parlimen tidak pernah berbelanja mewah bagi tujuan tersebut. Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan. Sebagai maklumat tambahan, kadar kelayakan bagi majlis tersebut adalah RM120 untuk seorang tetamu.

"Namun Parlimen hanya meluluskan kadar RM50 untuk seorang bagi tujuan tersebut yang mana jumlah keseluruhan RM400 untuk kos hidangan meja utama seramai lapan tetamu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen hidang menu daging RM2,000 sekilogram?

Jelas beliau lagi, menu tersebut juga hanya disediakan di meja makan utama untuk lapan tetamu dan bukan disajikan kepada semua jemputan.

Contoh hidangan daging Wagyu. gambar hiasan/Snake River Farms

"Adalah menjadi keutamaan dan amalan pentadbiran Parlimen untuk memastikan bahawa tatacara perolehan sentiasa dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi dalam semua perolehan yang dilaksanakan," katanya.

Malah, beliau turut meluahkan rasa kesal dengan penyebaran isu berkaitan sajian mewah itu kerana maklumat yang disampaikan tidak tepat.

"Sehubungan itu, Parlimen berharap isu ini tidak berpanjangan demi menjaga imej dan identiti Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara," katanya.

Pada malam Selasa, sekeping gambar menu sajian mewah berasaskan daging lembu wagyu dipercayai dihidangkan semasa jamuan tengah hari di Parlimen menjadi tular di Twitter.

Hidangan tersebut menjadi perhatian gara-gara harganya yang dikatakan mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000 sekilogram bagi gred B.

Seorang pengguna Twitter @TheDukeofKL tampil mempersoalkan sajian mewah itu yang dihidangkan di saat kerajaan Pakatan Harapan mendakwa negara berdepan bebanan hutang mencecah RM1 trilion.

“Hutang negara 'RM 1 Trilion'. Rakyat pula terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Tapi di Dewan Rakyat, mereka jamu daging Wagyu yang berharga RM2,000 sekilo. Tahniah kerajaan Pakatan Harapan,” tulisnya di Twitter.

Artikel Lain