suria

MH17: Malaysia ulangi tekad tuntut keadilan

PUTRAJAYA: Malaysia tegas dalam usahanya mendapatkan keadilan untuk mangsa penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Memandangkan hari ini merupakan ulang tahun keempat kejadian yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Loke berkata tempoh 48 bulan ini pastinya suatu yang amat memeritkan bagi anggota keluarga mangsa.

“Kami tidak pernah goyah walaupun sehari dalam tekad mendapatkan keadilan untuk mangsa tragedi malang ini kerana itu janji kita kepada keluarga dan waris penumpang serta anak kapal,” katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Loke mengulangi Malaysia menghargai pembentangan oleh Pasukan Siasatan Bersama diketuai Belanda (JIT) pada 24 Mei lalu berhubung laporan terkini dan perkembangan siasatan jenayah.

Selaku anggota JIT, beliau berkata Malaysia sekali lagi menzahirkan penghargaannya atas kerja keras anggota JIT yang berjaya membuahkan  maklumat penting berhubung kejadian.

“Malaysia, secara konsisten telah menggesa serta menyokong proses siasatan yang telus, bebas dan lengkap.

“Justeru, ia mengulangi gesaan JIT agar orang ramai tampil membantu siasatan proses dan menyediakan bukti sokongan terhadap manusi yang terlibat secara langsung bagi mempertahankan keadilan,” katanya.

Dalam kenyataan yang diisiarkan pada laman sesawangnya 24 Mei lalu, JIT berkata pasukan itu yakin BUK TELAR digunakan untuk menjatuhkan MH17 dan peluru berpandu itu berasal daripada Briged Peluru Berpandu Antipesawat ke-53, iaitu unit dalam tentera Rusia dari Kursk di Persekutuan Rusia.  

Loke menegaskan Malaysia dan anggota lain JIT tidak akan berehat selagi tragedi itu tidak diselesaikan.

“Komitmen kami kepada keluarga dan waris kekal utuh kerana kami bersama-sama negara JIT akan terus mencari jawapan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya.-- Bernama     


MH17, Loke, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain