suria

Empat maut nahas enam kenderaan

KUALA LUMPUR: Empat orang maut, seorang cedera parah manakala tiga yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah treler di Km 446 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan kedua-dua arah tengah hari Sabtu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan maut yang mengorbankan dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki itu pada 12.02 tengah hari.

“Tiga pasukan dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Rawang dan Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang menghala ke arah utara terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan ke arah selatan lalu melanggar kenderaan di laluan berkenaan.

“Kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan jalan sepanjang 20 kilometer,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari'at berkata siasatan awal mendapati treler berkenaan sedang dalam perjalanan dari ibu negara menghala ke utara terlanggar sebuah kereta sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan tiga kenderaan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kemalangan menyebabkan laluan sesak di kedua-dua arah...pengguna jalan raya diminta bersabar dan memilih laluan lain bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Setakat ini, aliran trafik di kedua-dua arah bergerak perlahan dengan dikawal anggota trafik. - BERNAMA

kemalangan, PLUS

Artikel Sebelum

Semua salah Najib!

Artikel Lain