Kes Adam Rayqal buat wanita ini tuntut keadilan demi Aisy - Semasa | mStar

Kes Adam Rayqal buat wanita ini tuntut keadilan demi Aisy

Nur Aisy meninggal dunia akibat kecuaian pengasuh pada 9 April lalu.

PETALING JAYA: Berita kematian bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi yang berusia lima bulan baru-baru ini menggemparkan negara apabila mayatnya ditemui di dalam peti sejuk rumah pengasuhnya.

Kisah kematian tragik itu turut mengingatkan seorang ibu yang mengalami nasib sama kehilangan bayi perempuan juga berusia lima bulan semasa di rumah pengasuh pada April lalu.

Menurut Julia Rahim, 35, anak ketiganya Nur Aisy Mohd Ikhwan yang dibawah jagaan pengasuh meninggal dunia pada 9 April lalu akibat kesan hentakan objek tumpul di kepala.

"Apabila berita kematian Adam viral, saya terus teringat kepada Aisy. Kedua-duanya ada persamaan.

"Punca kematian mereka sama, disebabkan hentaman pada objek tumpul di kepala," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Julia yang bekerja sebagai juruteknik meluahkan rasa kesal apabila kematian anaknya itu tidak dibawa ke muka pengadilan.

"Walaupun hasil bedah siasat sudah tunjukkan apa yang berlaku kepada Aisy tapi nak mendakwa pengasuh tersebut bukan senang.

"Kami perlukan bukti kukuh untuk mendakwa suspek dan harapan terletak kepada pihak berkuasa untuk membantu kami," katanya.

Namun dakwa Julia, kes kematian anak ketiganya itu akhirnya telah ditutup kerana kekurangan bukti.

Keputusan hasil bedah siasat punca kematian Nur Aisy.

"Kes ditutup kerana tak ada saksi atau CCTV. Jadi tiada tindakan lanjut. Pengasuh Aisy tetap mengasuh anak jagaan lain tanpa rasa bersalah," katanya.

Julia mendakwa dia sudah mengemukakan rayuan pada akhir April lalu supaya kes tersebut dibuka semula.

"Setakat ini, kertas siasatan akan dibuka semula, sama ada kes ini berjaya dibawa ke mahkamah atau tidak belum diketahui," katanya.

Julia mendakwa Nur Aisy berada dalam keadaan sihat sebelum dihantar ke rumah pengasuhnya pada 6 April lalu.

"Sebagai ibu kita tahu bila anak kita sihat atau tak. Sebelum hantar Aisy, dia memang aktif siap tersenyum lagi.

"Pengasuh pun ada hantar video pagi itu (hari kejadian) dalam keadaan sihat," katanya yang turut menghantar seorang lagi anaknya, Nur Fatihah, 3, di bawah jagaan pengasuh tersebut.

Bagaimanapun, Julia mendakwa pengasuhnya itu memaklumkan Nur Aisy sesak nafas secara tiba-tiba ketika mahu meyusukannya.

Gambar kenangan Julia bersama Aisy.

"Dia (pengasuh) maklumkan perkara itu melalui WhatsApp. Saya amat terkilan apabila dia sempat merakam video anak saya sedang nazak... sampai hati dia.

"Sepatutnya dia bawa terus ke hospital dan hubungi saya. Sebaliknya berlaku, saya yang hubungi dia selepas dia hantar video tersebut," katanya.

Julia berkata, Nur Aisy dikejarkan ke Hospital Serdang menggunakan ambulans Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi.

"Sebaik saya sampai Aisy dah lembik. Dia dimasukkan ke wad kecemasan. Pada 8 April saya dimaklumkan jururawat ada kesan merah di belakang kepala Aisy.

"Saya terkejut dan mengesyaki anak saya mungkin terjatuh akibat kecuaian pengasuh. Namun berkali-kali saya merayu kepada pengasuh untuk menceritakan kesan lebam itu tapi dia kata tak tahu.

"Betapa luluh hati saya apabila dengar kata-kata tersebut. Sekurang-kurangnya pengasuh tersebut berterus-teranglah, kami sedikitpun tak marah malah berlembut dengan dia. Namun dia tetap kata tak tahu," katanya.

Walaupun kematian anaknya sudah tiga bulan berlalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu akan terus berjuang mencari kebenaran mengenai punca kematian anak bongsunya.

"Saya tidak akan berputus-asa menuntut keadilan, walaupun ia memakan masa berbulan atau bertahun lamanya.

"Mungkin insiden yang berlaku terhadap Adam Rayqal dapat membuka mata banyak pihak mengenai kes membabitkan anak saya. Saya tak mahu anak orang lain menjadi mangsa selepas ini," katanya.

Nur Aisy , pengasuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM