suria

Hanya salah faham - Zahid

PUTRAJAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi hanyalah salah faham.

Menurutnya, terdapat kesilapan apabila pegawai yang sepatutnya menguruskan pembayaran kad kredit miliknya dan isteri menggunakan duit yayasan dan bukan cek peribadinya.

Katanya, beliau telah menggunakan wang sendiri membayar kembali wang yayasan tersebut pada 2016.

"Walaupun niat pegawai itu bukan berniat penyelewengan tetapi tetap tidak betul.

"Penjelasan bahawa saya telah membayar kembali duit yayasan pada 2016 yang digunakan untuk pembayaran kad kredit tersebut , selain salinan cek tersebut telah saya serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, petang Selasa.

Ahmad Zahid tiba di SPRM jam 9.50 pagi tadi bagi meberikan keterangan berhubung dakwaan menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan nilai pembayaran balik yang telah dilakukannya kepada yayasan itu.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Zahid, beliau turut menegaskan tiada penyelewangan yang berlaku apatah lagi yayasan tersebut dikendalikan oleh ahli keluarganya selain bertujuan untuk kebajikan semata-mata.

"Ia terbukti dengan banyak masjid, maahad tahfiz, rumah anak yatim dan aktiviti kebajikan telah dibuat melalui yayasan tersebut.

"Cuma kesilapan sedikit daripada pegawai tersebut membuatkan keadaan jadi begini. Jadi saya harap perkara ini telah jelas kepada umum dan merungkai perspektif negatif masyarakat," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, beliau menjadi penyumbang paling besar kepada yayasan tersebut melalui dana sendiri.

"Saya pemegang saham terbesar dalam empat syarikat dan keuntungan tersebut saya tidak gunakan secara peribadi sebaliknya menyalurkan kepada yayasan tersebut untuk aktiviti amal jariah,"katanya.

Jelasnya, beliau menyerahkan segala tindakan lanjut kepada SPRM berhubung kesnya itu.



Zahid, SPRM

Artikel Berikut

Najib Razak ditahan

Artikel Lain