suria

Peguam terbang ke seberang jumpa Jamal

SABAK BERNAM: Peguam kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Datuk Mohd Imran Tamrin dijadualkan berlepas ke Jakarta untuk berjumpa dengan anak guamnya itu, pagi Isnin.

Mohd Imran berkata, beliau dimaklumkan Jamal ketika ini ditahan di Polda Metro Jaya, Jakarta.

“Saya dah berhubung dengan rakan peguam di Indonesia dan dalam masa yang sama, saya juga menghubungi Pegawai Kedutaan Malaysia, di sana.

“Saya akan mengemas kini perkembangan nanti,” katanya menerusi pesanan yang ditinggalkan pada aplikasi WhatsApp Umno Bahagian Sungai Besar.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengesahkan Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada 6.15 petang.

Muhyiddin berkata, PDRM telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.

Jamal, 48, menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober tahun lalu.

Selain itu, beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960.-SinarHarian

Jamal Yunos, Jakarta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain