suria

Akaun parti politik, NGO babit RM1.1 bilion dibeku

PETALING JAYA: Kira-kira 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibekukan pada 26 dan 29 Jun lalu.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam kenyataan pada Isnin berkata, akaun yang dibekukan itu turut membabitkan 81 individu dan 55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

"Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB.

"Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas 1MDB.

Jelas pasukan itu lagi, mereka sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak terbabit.

"Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak terlibat.

"Sehubungan itu, kami berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama dengan pihak kami," katanya.

Pada masa sama, pasukan itu juga tidak menolak kemungkinan ada lagi akaun bakal dibekukan selepas ini.

"Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan.

"Oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak," katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan pasukan tersebut selepas dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB pada 21 Mei lalu.

Pasukan khas itu diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid bin Bador.

Pasukan khas itu juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

1MDB, dana

Artikel Sebelum

Akaun TAFF tidak dibeku

Artikel Berikut

Artikel Lain