Peniaga kain hentak kepala isteri didakwa - Semasa | mStar

Peniaga kain hentak kepala isteri didakwa

PETALING JAYA: Seorang peniaga kain didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Selasa atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menghentak kepala wanita itu ke cermin kereta serta memukul mangsa.

Faizal Ridza Alwi, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Bapa lima anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 36 tahun itu, dengan memukul mangsa pada bahagian muka, perut serta menghentak kepala wanita itu pada cermin kereta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, di sini, pada 1 petang, 12 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjaminnya tidak hadir di mahkamah dan menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

peniaga , hentak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

SPRM panggil anak tiri Najib

Lebih Artikel