suria

Kurang mampu bukan alasan kahwinkan anak bawah umur

Tindakan lelaki berusia 41 tahun mengahwini budak 11 tahun dikecam hebat netizen.

KUALA LUMPUR: Faktor kurang mampu tidak boleh dijadikan alasan atau 'jalan pintas' untuk pihak keluarga mengahwinkan anak bawah umur, kata Presiden Persatuan Pedagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir.

Beliau berkata perkahwinan melibatkan kanak-kanak sangat bertentangan dengan hak asasi mereka, selain memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Justeru, had umur perkahwinan bagi perempuan perlu segera dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun kerana kita mahu nasib dan kebajikan kanak-kanak terbela," katanya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki ialah 18 tahun manakala bagi ­perempuan, 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Isu perkahwinan bawah umur melibatkan budak perempuan 11 tahun dengan individu berumur 41 tahun di Gua Musang, Kelantan mencetuskan kontroversi apabila ia disifatkan bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga warganegara Thailand.

Mengulas isu perkahwinan itu yang tular dalam media sosial sejak Jumaat, Moehamad Izat mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap lelaki 41 tahun itu kerana dilihat menganiayai kanak-kanak itu.

“Umur 11 tahun terlalu kecil dan belum matang. Untuk kes ini, tangkap sahaja lelaki yang mengahwini kanak-kanak perempuan itu kerana kita tidak mahu dilihat seolah-olah menggalakkan perkara itu berlaku," katanya. - BERNAMA

kahwin, Golok

Artikel Berikut

Artikel Lain