Sardin King Cup tidak terbabit arahan tarik balik - Semasa | mStar

Sardin King Cup tidak terbabit arahan tarik balik

Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Syarikat Marushin Canneries (M) Sdn Bhd menjelaskan  bahawa produk sardin dalam tin berjenama King Cup yang dikeluarkannya tidak terbabit dengan produk sardin yang ditarik balik dari pasaran seperti arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusianya Josephine Loo dalam kenyataan pada Jumaat, berkata produk ‘King Cup-Sardines in Tomato Sauce' tidak terkandung dalam senarai produk yang ditarik balik seperti dilaporkan.

“Kenyataan KKM dengan jelas menyatakan  (syarikat itu) Mackerel in Tomato Sauce (antara produk yang ditarik balik), bukan Sardines in Tomato Sauce,” katanya.

Menurut kenyataan KKM pada Khamis, tiga produk sardin dalam tin dan tiga produk mackerel dalam tin dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing.

Sehubungan itu KKM telah mengarahkan produk berkenaan ditarik balik dari pasaran. 

Sebelum ini, KKM menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran kerana disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam produk ikan sardin tersebut ialah daripada jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Beliau berkata KKM juga mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.-Bernama


King Cup , KKM

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan