suria

Kerajaan nilai keperluan hukuman mati mandatori jika Sirul mahu pulang

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melihat keperluan meminda hukuman mati mandatori yang terkandung dalam mana-mana akta berkaitan jenayah yang dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ketika ini kerajaan hanya menangguhkan hukuman gantung terhadap pesalah berkaitan dadah.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang lalu telah mengambil ketetapan meneruskan keputusan kerajaan sebelum ini menangguhkan hukuman gantung terhadap 17 banduan berkaitan kes dadah yang berada dalam senarai  untuk menjalani  hukuman gantung.

"Dalam konteks lebih luas, kami turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat semula sama ada perkara sama juga boleh diambil terhadap pesalah dalam jenayah lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan EduWAQF, iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Bangi, dekat sini, Jumaat.

Menurutnya, langkah itu perlu sekiranya bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mahu pulang ke negara ini dan menjadi saksi kes tersebut.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata Sirul Azhar yang kini mendapat perlindungan di Australia, tidak mungkin dapat dibawa balik ke Malaysia kerana negara tersebut tidak membenarkan individu yang dijatuhi hukuman gantung balik disebabkan mereka tidak melaksanakan undang-undang tersebut di sana.

"Sebab itu kita berbincang sama ada perlu untuk kita ubah hukuman tersebut atau diganti dengan hukuman lain," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut, pihak berkuasa Australia telah membenarkan permohonan Malaysia agar Sirul Azhar diekstradisi dengan syarat Malaysia bersetuju menanggung kos, namun bekas anggota Unit Tindakan Khas polis itu dilaporkan enggan pulang kerana bimbang akan tetap dikenakan hukuman mati kerana undang-undang itu masih diamalkan di negara ini.

Sirul Azhar, yang didapati bersalah membunuh Altantuya dengan bahan letupan di kawasan hutan di Mukim Bukit Raja, Klang pada Oktober 2006, telah bertindak melarikan diri ke Australia pada 2015.

Dia kemudiannya ditahan oleh Imigresen Australia di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.- Bernama

Wan Azizah, Sirul Azhar, hukuman mati

Artikel Lain