suria

Bijan dominasi carian Google Malaysia

PETALING JAYA: Orang ramai pastinya tidak terkejut sekiranya diberitahu perkataan 'Bijan' mendominasi carian di Google pada Rabu (27 Jun).

Ia sekali gus menyingkirkan carian utama yang banyak berkisar mengenai saingan Piala Dunia 2018 di Rusia sejak beberapa hari lalu.

Semakan mendapati terdapat lebih 100,000 entri carian untuk perkataan 'bijan' termasuklah 'Bijan Bag', 'Bijan Handbag' dan 'House of Bijan'.

Turut mendahului senarai carian tertinggi pada Rabu ialah 'Mexico vs Sweden' (lebih 100,000 carian) diikuti 'Switzerland vs Costa Rica' di tangga ketiga (20,000 carian) dan 'Maradona' (10,000 carian).

Trend carian di Google sejak kebelakangan ini lebih menjurus kepada perlawanan Piala Dunia 2018 yang sedang hangat berlangsung.

Selain Google, perkataan 'Bijan' turut menjadi trending di laman Twitter pada Rabu.

Orang ramai mula membuat carian selepas pihak polis mendedahkan beg tangan jenama Bijan yang ditempah khas sebagai salah satu item mewah dalam rampasan melibatkan harta benda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rampasan dibuat berikutan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan.

The House of Bijan dikenali sebagai gedung termahal di dunia.

Berpangkalan di Beverly Hills, Los Angeles, jenama keluaran Amerika ini menggunakan material berkualiti yang diperbuat daripada kulit buaya dan kanggaru.

Bijan, Najib Razak

Artikel Lain