suria

DBKL tetap akan tutup bazar perayaan di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis tetap dengan  pendirian menutup bazar perayaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini bermula tahun depan  meskipun dibantah orang ramai.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya melibatkan penutupan bazar Ramadan dan bazar Deepavali namun tidak melibatkan pasar malam mingguan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata langkah itu terpaksa diambil berikutan terlalu banyak aduan yang timbul di kawasan berkenaan termasuk isu sampah-sarap dan halangan-halangan sehingga mengakibatkan kesesakan trafik.

“Sebelum ini, bazar ini diuruskan oleh persatuan-persatuan dan ia jadi tidak teratur.  

“Sama juga bila kita (DBKL) cabut undi bersama peniaga dengan penyelarasan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pun masih wujud masalah kebersihan, bantahan daripada pemilik kedai di jalan itu serta penjaja haram yang ambil kesempatan membuat keuntungan berlipat kali ganda daripada harga sewa asal.  

“Bila 10 Ramadan terakhir pula, semua penjaja haram telah menguasai kawasan itu hingga berlaku pergaduhan antara penguat kuasa DBKL dan orang ramai. Ini menyusahkan semua pihak,“ katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri DBKL di sini pada Khamis.  

Menjawab satu soalan sama ada DBKL ada mengkaji bazar-bazar di kawasan lain yang turut mempunyai masalah sama, beliau berkata: “Setakat ini, hanya bazar di Jalan TAR sahaja bermasalah dan kawasan lain okey,” katanya.

Mhd Amin Nordin turut mencadangkan para penjaja yang terlibat agar mencari lokasi lain yang sesuai untuk dijadikan tapak berniaga namun perlu mendapat kebenaran daripada wakil rakyat atau pihak penganjur.

Bazar yang juga dikenali sebagai bazar Masjid India itu mula dibuka sekitar tahun 2003 bermula dengan 100 lot tapak dan kini mempunyai sehingga 300 lot tapak. - Bernama

Jalan TAR

Artikel Lain