suria

Salah guna kuasa, CEO GLC direman

CEO GLC yang disiasat berhubung penyalahgunaan kuasa beberapa projek di Putrajaya tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berkaitan salahguna kuasa membabitkan beberapa projek pembinaan di sini bernilai RM300 juta.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek bergelar Datuk itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 9.25 pagi dengan berpakaian reman SPRM.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan SPRM di pejabatnya kira-kira 12 tengah hari Rabu.

Ia susulan serbuan yang dilakukan suruhanjaya itu di sekitar Lembah Klang melibatkan beberapa premis seperti pejabat dan rumah suspek bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes.

Suspek dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasikan beberapa projek pembinaan yang sedang dijalankan GLC berkenaan.  

Menurut jurucakap SPRM, projek itu telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender, namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, pihak yang dilantik berkenaan gagal melaksanakan projek itu.

Berikutan itu, projek berkenaan kemudiannya diberi kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan suspek dan perkara itu sememangnya telah dirancang lebih awal, katanya. - Bernama

Artikel Lain