suria

Beri wanita jawatan kabinet untuk bangunkan negara - TPM

Dr Wan Azizah diiringi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) ketika hadir pada Rumah Terbuka Jamuan Raya di Bukit Baru Jumaat malam. -fotoBERNAMA

MELAKA: Lebih ramai wanita perlu diketengahkan dan diberi jawatan dalam barisan Kabinet dalam usaha membantu membangunkan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata bagaimanapun, ia terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membariskan anggota Kabinet berdasarkan keperluan pembangunan negara.

Dr Wan Azizah berkata pihaknya telah menyerahkan senarai cadangan nama anggota Kabinet kepada Dr Mahathir.

"Beliau (Dr Mahathir) telah beritahu perlukan sedikit masa (untuk menamakan barisan Kabinet) kerana pembahagian perlu dibuat berdasarkan empat parti (dalam Pakatan Harapan).

"(Pembahagian) ini supaya semua parti dapat merasai kemenangan itu dan sama-sama bertanggungjawab memikul amanah membangunkan negara," katanya kepada pemberita di sini, malam Jumaat.

Selain Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dua lagi anggota wanita dalam Kabinet ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Baru di sini, yang dihoskan Anggota Parlimen kawasan itu Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari turut memeriahkan majlis itu, yang turut dihadiri lebih 1,000 tetamu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata beliau berkesempatan memberitahu Mohd Khalil tentang hala tuju negara menerusi kerajaan Pakatan Harapan dan Yang Dipertua Negeri Melaka itu memberikan maklum balas yang positif tentangnya.

"Beliau (Mohd Khalil) sedia bekerjasama erat dengan Ketua Menteri (Adly) untuk membawa Melaka ke tahap yang baharu," katanya.

Ditanya mengenai spekulasi Tan Sri Rais Yatim dan Hannah Yeoh dinamakan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dr Wan Azizah berkata perkara itu di luar pengetahuannya. - BERNAMA

Dr Wan Azizah, Kabinet

Artikel Berikut

Artikel Lain