suria

Jamal Yunos janji bantu kembalikan kegemilangan Umno

PETALING JAYA: Biarpun dirinya menjadi buruan polis, Datuk Seri Jamal Md Yunos (gambar) meluahkan keyakinannya dalam mengembalikan maruah dan kegemilangan Pemuda Umno sekiranya dilantik menjadi ketua pada pemilihan parti yang akan datang.

"Saya yakin dan percaya saya mampu memimpin Pemuda Umno ke arah masa depan yang gemilang dan bermaruah.

"Oleh itu, kepada rakan-rakan dan delegasi Pemuda Umno, saya Jamal Yunos... tolong berikan keyakinan anda kepada saya dalam memimpin Pemuda Umno untuk penggal ini," katanya menerusi video yang dimuat naik ke laman Facebook miliknya pada Jumaat.

"Saya percaya sekiranya semua delegasi memberikan saya keyakinan dan mandat, saya mampu membawa Pemuda Umno ke zaman mereka dihormati dan digeruni," tambah beliau.

Bagaimanapun, video itu telah dipadam kurang daripada sejam ia dimuat naik.

Melalui video tersebut, Jamal memberitahu bahawa beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk mewakili Umno sebagai parti pembangkang memandangkan beliau dilahirkan dan dibesarkan di Selangor, negeri yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

"Biar kita buat keputusan terbaik. Kalau kita buat pilihan yang salah, Pemuda Umno akan kekal lemah," katanya.

Jamal kini sedang disiasat di atas sekurang-kurangnya enam dakwaan, termasuk mencetuskan huru-hara awam di bangunan sekretariat negeri Selangor dengan memecahkan botol alkohol sebagai tanda protes terhadap Better Beer Festival.

Artikel Sebelum

Artikel Lain