suria

Kes Altantuya: Polis sepatutnya panggil Musa

KUALA LUMPUR: Polis sepatutnya memanggil bekas pembantu (ADC) Datuk Seri Najib Abdul Razak, Deputi Superintendan, Musa Safri sebagai saksi ketika pendakwaan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, 12 tahun lalu, kata Peguam, Ramkarpal Singh.

“Beliau (Musa) adalah saksi yang sangat penting dan itu adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan semasa pendakwaan.

“Kenapa pendakwaan lalu itu beliau tidak dipanggil? Ini berkaitan dengan isu dan motif yang sangat penting. Ini sudah tentu satu perkara yang luar biasa dan tidak bermakna perkara ini telah berakhir,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi bersama Dr Shaariibuu Setev untuk membuat laporan polis dipercayai bagi membuka semula kertas siasatan berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Ramkarpal berharap siasatan baharu ini akan bermula dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, beliau yakin kes ini mempunyai peluang yang baik untuk diselesaikan.

“Sebab itu saya hadir ke sini (IPD Dang Wangi) untuk mengambil langkah sebagai permulaan bagi membuka semula kertas siasatan,” katanya.

Semalam, Ramkarpal mendedahkan ada petunjuk baharu yang kukuh bagi membolehkan kes pembunuhan Altantuya dibuka semula.

Terdahulu, Setev dan cucunya menyaman kerajaan Malaysia serta tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Baginda untuk ganti rugi RM100 juta atas kematian Altantuya yang dibunuh antara 19 hingga 20 Oktober 2006.

Wanita berusia 28 tahun itu ditembak di kepala sebanyak dua kali, sebelum mayatnya dililit bahan letupan gred tentera dan diletupkan di dalam hutan. Motif jenayah dan dalang pembunuhan itu sehingga kini tidak diketahui.

Azilah dan Sirul yang juga anggota Unit Tindakan Khas yang menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemimpin tertinggi negara, disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah membuat keputusan terakhir dan kemudian ditahan di Sydney hampir 2 tahun. - Sinar Online

Altantuya Shaariibuu, Musa Safri

Artikel Berikut

Artikel Lain