suria

Nik Nazmi tak lupa pengalaman naik kereta api Kelas 3

KIPAS pusing dan bunga api di atas kereta api antara salah satu kenangan hari raya yang tidak dapat dilupakan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkongsi cerita raya yang sememangnya tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

"Saya ingat dua kenangan ketika masih bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) (1997-1999).

“Kali pertama naik kereta api kelas 3 untuk balik ke KL sempena cuti raya. Ketika itu saya di Tingkatan Satu.

“Uniknya, kereta api ketika itu hanya ada kipas kecil pusingan yang jauh berbeza daripada sekarang.

“Dan ketika dalam perjalanan, sehingga kini terngiang-ngiang lagi lagu raya yang dinyanyikan penumpang-penumpang lain dan percikan bunga api.

“Memang hati sangat gembira dan tak sabar rasanya nak sampai ke rumah,” ceritnya kepada mStar Online.

Tambahnya, selain kenangan di atas kereta api, satu lagi saat yang sukar dilupakan ketika beraya di kampungnya di Kelantan.

“Ketika itu nenek dan datuk masih ada. Kalau balik kampung memang ‘best’, tidur beramai-ramai bersama sepupu di rumah kayu.

“Suasana sangat meriah. Namun semuanya sudah berbeza selepas nenek dan datuk meninggal dunia.

“Ibu bapa dan keluarga memang tinggal di KL. Jadi kami jarang balik ke kampung lebih-lebih lagi semua saudara mara berada di sini.

“Pun begitu, saya hilangkan rasa rindu kampung itu dengan makanan kegemaran seperti nasi dagang, nasi minyak yang dibuat oleh ibu saya,” ujarnya.

Mengenai raya tahun ini, wakil rakyat berusia 36 tahun ini memberitahu, beliau adalah ‘teamKL’.


“Saya hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga memandangkan sejak PRU baru-baru ini sehinggalah bulan puasa saya jarang berada bersama mereka.

“Selepas itu, saya pasti akan kembali menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat buat pertama kali dengan memenuhi undangan sambutan Hari Raya bersama persatuan penduduk dan sebagainya.

“Malah raya ini juga saya ada misi tersendiri, iaitu mengekalkan berat badan yang susut sejak berkempen PRU, seterusnya berpuasa.

“Itulah cabaran yang sangat sukar dilaksanakan dalam tempoh berhari raya ini,” ujarnya tersenyum.

Nik Nazmi, kenangan raya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain