suria

Amirudin mulakan tugas sebagai MB

Amirudin ketika memulakan tugas sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu. - fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari memulakan tugasnya secara rasmi pada Rabu.

Beliau tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini kira-kira 7.50 pagi sebelum mengetik kad perakam waktu pertamanya sebagai Menteri Besar.

Ketibaan Amirudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, disambut beberapa Exco kerajaan serta ketua jabatan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Amirudin kemudiannya beramah mesra dengan beberapa Exco berkenaan di pejabatnya dan dijadualkan mendengar beberapa taklimat daripada pegawai kanan kerajaan negeri.

Pada sebelah petang, Amirudin dijadual mengunjungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Selasa, Amirudin, 38, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Amirudin merupakan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi. - BERNAMA

Amirudin Shari, MB Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain