suria

Ketirisan Finas: Kementerian tak ‘beri muka’

Gambar dari Facebook Finas.

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak akan ‘beri muka’ kepada mana-mana pihak yang didapati terlibat melakukan ketirisan dalam peruntukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi tahun 2017.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, KKMM tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara yang melibatkan elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam mana-mana agensi mahupun jabatan di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

"Perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salahguna kuasa di dalam industri kreatif negara kita, sekiranya ada, boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan.

"Jadi, sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang elemen ini, maka tindakan tegas perlu diambil secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara ini dengan serta-merta," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Tambah Gobind, beliau telah dimaklumkan bahawa beberapa pegawai Suruhanjaya Penjegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di ibu pejabat Finas pada 7 Jun lalu bagi menjalankan siasatan berhubung peruntukan untuk tahun 2017.

Kata beliau, SPRM harus diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan dan pihak berkaitan perlu memberikan kerjasama bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Saya harap siasatan ini juga akan melihat secara mendalam kepada aturcara dalam mana peruntukan-peruntukan Finas digunakan dalam masa lalu.

"Sekiranya didapati wujudnya sebarang kelemahan atau kekurangan, cadangan-cadangan bagi memperkukuhkannya dapat dikemukakan untuk pertimbangan KKMM," ujar Gobind.

Finas

Artikel Lain