suria

Mekanisme deklarasi harta ditetapkan sebelum sidang parlimen

KUALA LUMPUR: Mekanisme deklarasi harta oleh anggota pentadbiran kerajaan masih dalam peringkat perbincangan, dan keputusan muktamad hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang akan  datang.

Ketua  Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata aspek deklarasi harta oleh anggota pentadbiran adalah antara perkara yang akan dibincangkan dengan terperinci pada mesyuarat itu, yang dijangka diadakan sebelum persidangan Parlimen bermula.

“Pada mesyuarat JKKMAR pada 8 Jun lalu, Perdana  Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah menzahirkan komitmen beliau dan kerajaan  untuk membincangkan perkara berkaitan dengan mekanisme deklarasi harta dan pemberian hadiah dalam kadar yang segera,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, Ahad.

Beliau berkata perdana menteri juga mencadangkan supaya maklumat deklarasi harta oleh anggota-anggota pentadbiran kepadanya turut diserahkan kepada agensi-agensi pencegahan rasuah.

“Sehubungan itu, GIACC mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan input bagi mewujudkan mekanisme yang lebih efektif  berkaitan dengan deklarasi harta oleh anggota pentadbiran,” katanya.

Abu Kassim berkata GIACC juga akan mengadakan sesi perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk mewujudkan mekanisme yang lebih baik dan komprehensif.

“GIACC yakin kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak akan membantu mencapai objektif membebaskan negara daripada masalah rasuah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengalu-alukan reaksi dan maklum balas yang dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil berkenaan dengan mekanisme deklarasi harta oleh anggota pentadbiran.

Pada 1 Jun lepas,  Dr Mahathir telah bersetuju untuk menubuhkan GIACC bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini dengan melantik Abu Kassim, yang merupakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menerajui GIACC.

GIACC akan bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu.-- Bernama

parlimen, harta, GIACC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain