suria

Zambry dah lama kosongkan kediaman rasmi MB

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah lama keluar dan mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Dihilir di sini.

Menteri besar Ahmad Faizal Azumu ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh sebenar Zambry berbuat demikian.

“Zambry telah keluar sepenuhnya. Pihak pentadbiran tidak memaksa beliau untuk keluar dan mengosongkan kediaman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan bagi Tabung Harapan Malaysia di sini, Jumaat.  

Beliau mengulas tular di media sosial yang mempertikaikan tindakan Zambry kerana belum mengosongkan kediaman berkenaan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau belum berpindah masuk ke kediaman tersebut kerana terdapat kerja-kerja ubah suai dan membaiki paip yang belum selesai.

Mengenai sumbangan bagi Tabung Harapan Malaysia, Ahmad Faizal berkata setakat ini beberapa syarikat dan orang perseorangan di Perak telah menyumbang sebanyak RM5.5 juta.  

“Semakin ramai yang tampil ke hadapan untuk menyahut apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi sama-sama mencari jalan selamatkan negara,” katanya. 

 Pada majlis tersebut, Ahmad Faizal menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM3.5 juta daripada dua syarikat dan seorang ahli perniagaan. - Bernama

kediaman rasmi, Zambry Abd Kadir

Artikel Lain