suria

Peguam akan bawa bapa Altantuya temui Tun M

GEORGE TOWN: Ramkarpal Singh iaitu peguam kepada bapa model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh di negara ini pada 2006 berkata pihaknya akan membawa bapa model itu ke Malaysia untuk  bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya beliau sedang menguruskan perjalanan Shaariibuu Setev ke negara ini dan djangka tiba dalam tempoh seminggu dua ini.

"Keputusan kerajaan Australia untuk mengekstradisi Sirul Azhar Umar (yang disabit kesalahan membunuh Altantuya) balik ke Malaysia adalah satu perkembangan yang positif, baik  untuk menegakkan keadilan terhadap Altantuya. Kepulangan  Sirul ini adalah langkah pertama untuk tujuan siasatan semula diadakan.

"Kita tahu siapa yang membunuh dia (Altantuya) dia dibunuh oleh Sirul dan Azilah Hadri  (bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia). Ini adalah dapatan-dapatan dan fakta oleh Mahkamah Persekutuan, satu keputusan muktamad...tetapi yang (kita) tidak tahu ialah siapa yang mengarahkan pembunuhan itu. Isu ini perlu dibangkitkan atau didedahkan sekarang," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Ramkarpal berkata pihaknya juga akan memohon agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat motif di sebalik pembunuhan Altantuya.

Ramkarpal  turut merayu agar Peguam Negara yang baharu Tommy Thomas mempertimbangkan dengan serius agar siasatan terhadap pembunuhan Altantuya dibuka semula.

Akhbar dan beberapa portal tempatan pagi ini melapor dengan memetik sumber daripada The Guardian, sebuah  akhbar harian Britain sebagai menyebut bahawa pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar  dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan.

Akhbar itu dilapor berkata bekas pegawai polis itu yang disabit dan dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Altantuya akan meninggalkan Australia selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Okt dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.-- Bernama















Altantuya, Mahathir

Artikel Lain