suria

'Fail Merah' bongkar skandal RM9.4 bilion

KUALA LUMPUR: "Fail Merah" telah membongkar satu lagi skandal bernilai RM9.4 bilion yang dipercayai berlaku semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, kata Kementerian Kewangan pada Selasa.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh MoF, terlibat dalam skandal RM9.4 bilion yang dikaitkan dengan projek Saluran Paip Pelbagai  Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.

"Skandal RM9.4 bilion, di mana bayaran dibuat berdasarkan tempoh dan bukan berdasarkan kerja progresif yang dilaksanakan, telah menyebabkan RM8.3 bilion dibayar atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek  walaupun hanya 13 peratus siap dilaksana," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Skandal ini ditemui dalam Fail Merah dan disyaki ada kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd.

Fail Merah hanya boleh diakses oleh pihak tertentu dan telah menghalang pegawai dan juruaudit daripada menjalankan tanggungjawab dengan integriti.

Oleh itu, kerajaan, jika perlu, akan meminta bantuan kerajaan China untuk membantu mengesan aliran dana di China, untuk menyiasat kemungkinan pengubahan wang haram, kata Guan Eng.

Untuk rekod, MPP melibatkan saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson ke Jitra, Kedah, dengan kos CNY4.53 bilion dan RM2.53 bilion, atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula akan membina saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, dengan kos CNY3.08 bilion dan RM2.14 bilion, atau kira-kira RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu telah diberikan  kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang juga Pengerusi SSER.

Tan Sri Irwan meletak jawatan pada 23 Mei 2018.

SSER berjaya memperoleh pembiayaan dari China EXIM Bank berjumlah 85 peratus daripada nilai projek pada 22 Mac 2017.

Baki 15 peratus daripada dana yang diperlukan akan dikumpul melalui terbitan sukuk.

Kedua-dua pinjaman China EXIM Bank dan sukuk itu diperolehi dengan Jaminan Kerajaan Persekutuan.Semasa taklimat yang diberikan kepada pegawai Perbendaharaan pada 28 Mei 2018, SSER melaporkan bahawa projek tiga tahun itu telah dimulakan pada April 2017, kata MOF.

Pada akhir Mac 2018 atau satu tahun kemudian, projek MPP dan TSGP hanya masing-masing mencapai 14.5 peratus dan 11.4 peratus siap.

Bagaimanapun, kadar penyiapan belum disahkan atau diaudit."Bagaimanapun, kami teperanjat mendapati sejumlah RM4.71 bilion dan RM3.54 bilion untuk projek MPP dan TSGP telah dibayar kepada CPPB," tambah Lim.

Jumlah wang yang dibayar sebanyak RM8.25 bilion itu merupakan 87.7 peratus daripada jumlah nilai projek.Menurutnya, bayaran dibuat walaupun  kadar purata projek yang disiapkan  hanya 13 peratus, dengan kontrak dua tahun lagi.

“Kami telah mendapati bahawa jadual pembayaran bagi kontrak di atas adalah hampir keseluruhannya berdasarkan tempoh dan bukan pada kemajuan kerja yang progresif. Lebih buruk lagi, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, 85 peratus daripada nilai projek akan dibayar pada 1 Mac 2018.

“Ia belum termasuk dua perjanjian perundingan yang ditandatangani untuk projek yang sama bernilai kira-kira RM312 juta dan RM213 juta, dan perjanjian penyelenggaraan bernilai RM476 juta yang diberikan kepada syarikat dari China, berjumlah RM1 bilion lagi, kata Lim.

Kontrak terlibat telah dirundingkan oleh Jabatan Perdana Menteri, tanpa melibatkan pegawai Perbendaharaan.Pejabat Peguam Negara juga mengesahkan bahawa kontrak-kontrak ini telah ditandatangani walaupun banyak soalan yang tidak terjawab dan ada tanda wujudnya masalah.

"Saya dimaklumkan oleh pegawai Perbendaharaan bahawa SSER berkait rapat orang yang sama di belakang SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. SRC adalah singkatan daripada Strategic Resources Corporation, nama yang hampir sama dengan SSER," kata kenyataan itu.

Menurut Lim, kontrak  untuk SSER juga ditandatangani pada masa yang sama dengan kontrak untuk projek Laluan Keretapi  Pantai Timur oleh Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan dibiayai oleh China EXIM Bank.

Harus diingat bahawa Presiden SSER ialah Datuk Mohammed Azhar bin Osman Khairuddin, yang juga anggota Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.Datuk Mohammed Azhar juga merupakan Pengarah Putrajaya Perdana Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan langsung dengan Low Taek Jho.

"Berdasarkan urus niaga yang sangat mencurigakan di atas, saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk  membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia minggu lepas," tambah Lim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah diberi taklimat mengenai skandal tersebut. Di samping itu, Kementerian Kewangan sebagai pemilik tunggal SSER akan mengambil langkah-langkah untuk mengambil alih syarikat itu sementara menunggu siasatan, kata menteri tersebut.- Bernama

Fail Merah, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

SPRM serbu DBKL

Artikel Berikut

Artikel Lain