suria

Salleh galas tugas Pengerusi Perhubungan Umno Sabah

Salleh Said Keruak.

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik menjalankan tugas Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat pengumuman itu berkata, perkara itu diputuskan dalam perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno Sabah di sini, Isnin.

Salleh yang juga Bendahari Umno mengambil alih tugas itu daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Kami yakin (Pengerusi Perhubungan Umno) Tan Sri Musa Aman akan memfokuskan (perhatiannya) terhadap permasalahan perundangan yang beliau sedang tangani terutama dari segi petisyen (mengenai kedudukannya sebagai Ketua Menteri Sabah).

“Ini adalah keputusan utama yang dibuat  dalam perjumpaan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Pejabat Perhubungan Umno Sabah di sini, Isnin.

Polis Sabah kini masih berusaha untuk mengesan Musa bagi mengambil keterangannya mengenai dakwaan ugutan jenayah berdasarkan laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa juga telah memfailkan saman terhadap Juhar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mencabar kesahihan perlantikan itu serta meminta mahkamah untuk mengiktiraf beliau (Musa) sebagai ketua menteri yang sah. - Bernama

Salleh Said Keruak, Musa Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain