suria

“Jangan sesekali tak hormat MB sebelumnya”

Dr Ahmad Yunus Hairi.

SHAH ALAM: Sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Selangor yang baharu pasti adalah calon paling layak untuk menggalas amanah tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor I, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, calon tersebut semestinya yang terbaik tambah lagi beliau adalah calon yang mendapat perkenan Sultan Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Setiap menteri besar mempunyai caranya yang tersendiri... tapi apa yang penting, jangan sesekali dia tidak menghormati menteri besar sebelumnya.

"Semoga menteri besar baharu adalah seorang yang jujur,  telus dan bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, Isnin.

Katanya, beliau juga berharap menteri besar baharu juga akan membelanjakan kewangan negeri dengan penuh berhemah dan tidak meminggirkan pembangunan hal ehwal Islam di samping pembangunan lain.

Sultan Sharafuddin sebelum ini  memberi perkenan untuk melantik menteri besar Selangor yang baharu pada 19 Jun nanti dan angkat sumpah jawatan akan dijalankan di Istana Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Dalam pada itu, ketika mengulas siapakah calon yang difikirkan layak untuk menjadi pengganti Mohamed Azmin, Ahmad Yunus bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Ada tapi nanti subjudis... Lebih baik tunggu saja keputusan Tuanku," katanya.

Sebelum ini,  terdapat tiga nama yang sering disebut sebagai calon menteri besar Selangor iaitu Adun Sungai Tua,  Amiruddin Shari,  Adun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dan Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin. - Sinar Harian

Artikel Lain