suria

Didakwa sorok kereta mewah, kondo milik keluarga Najib jadi tumpuan media

Media asing dan tempatan berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan malam tadi susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik Najib disorok di parkir kondominium mewah itu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih 20 pengamal media berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini, susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondomonium mewah itu.

Tinjauan mendapati wartawan dan jurukamera memenuhi kawasan hadapan bangunan kondominium mewah itu berikutan mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan parkir berkenaan walaupun hujan lebat.

Kenderaan jenis Mercedes dan Toyota Vellfire, yang antaranya dipercayai membawa Najib dilihat memasuki kawasan parkir bangunan itu pada pukul 6.45 petang semalam.

Kenderaan Mercedes tersebut kemudian dilihat keluar pada kira-kira pukul 8.30 malam, manakala Toyota Vellfire itu pula turut keluar meninggalkan kawasan berkenaan pada pukul 9.50 malam.

Satu rakaman video berdurasi 24 saat tular di media sosial, mendakwa beberapa kereta mewah di parkir di kawasan letak kereta aras bawah kondominium itu milik keluarga Najib dan disorok oleh rakannya yang memiliki unit di kondominium tersebut.

Bagaimanapun tiada pasukan polis yang kelihatan membuat pemeriksaan mahupun serbuan di kondominium mewah itu malam tadi.

Menurut sumber, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tidak membuat sebarang serbuan di kondominium itu.

Usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi. - Bernama

Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain