suria

Manifesto akan ditunaikan walau keadaan 'teruk'

Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Rabu. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Janji Pakatan Harapan (PH) seperti mana yang disenaraikan dalam manifestonya tetap akan ditunaikan walaupun dalam keadaan sukar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masalah timbul apabila situasi yang perlu dihadapi kerajaan hari ini lebih teruk berbanding jangkaan PH, sebelum mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita telah membuat janji-janji dalam manifesto iaitu dalam jangka masa 100 hari kita akan melaksanakan janji-janji ini.

"Tapi kita dapati masalahnya, keadaannya lebih teruk dari jangkaan kita semasa kita siapkan manifesto," katanya pada sidang media, Rabu.

Dr Mahathir tidak menyatakan dengan khusus tentang situasi yang didakwa teruk, tetapi beliau dipercayai merujuk kepada bebanan hutang tinggi negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa apa yang dijanjikan PH dalam manifesto akan tetap ditunaikan dengan mengambil kira beberapa faktor.

"Janji-janji ini akan ditunaikan tapi ia perlu mengambil kira keadaan kewangan dan ia tidak jejaskan pentadbiran negara.

"Ia akan dilakukan bermula sekurang-kurangnya dalam 100 hari pentadbiran," katanya.

Antara janji yang terdapat dalam manifesto PH termasuklah menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

PH sebelum membentuk kerajaan turut berjanji mahu menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Selain itu gaji minimum seluruh negara juga akan disama ratakan dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

Artikel Sebelum

Artikel Lain