suria

MB Selangor yang baharu angkat sumpah 19 Jun ini

PETALING JAYA: Teka-teki siapa Menteri Besar Selangor yang baharu akan terjawab selepas Aidilfitri, bulan depan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan menteri besar Selangor yang baharu didadakan pada 19 Jun ini.

"Sukacita dimaklumkan Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk diadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan MB Selangor yang baharu selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Jelas Mohamad Munir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut akan melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor pada hari yang sama.

"Sehubungan dengan Istiadat Pelantikan yang bakal berlangsung Azmin akan turut melepaskan jawatan sebagai MB Selangor berkuatkuasa pada tarikh yang sama iaitu 19 Jun 2018," katanya.

Azmin sebelum ini tidak memberi jaminan sama ada pengganti jawatan yang disandangnya ketika ini akan kekal dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PKR.

"Kita belum ada keputusan (calon Menteri Besar Selangor yang baharu). Prosesnya kita akan bincang dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan Selangor.

"Khabar angin kononnya ada dua, tiga nama calon diserah kepada Sultan Selangor untuk dipertimbangkan jawatan itu tidak betul. Soal calon daripada parti mana yang akan mengisi jawatan itu tidak timbul kerana kita perlu ada perbincangan terlebih dahulu," kata Azmin ketika ditemui di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 24 Mei lalu.

Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Azmin turut selesai mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet pada 21 Mei lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan kepada Azmin selepas disembah maklum oleh Timbalan Presiden PKR itu bahawa beliau bersetuju untuk menerima jawatan menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi portfolio berkenaan.

Azmin Ali, MB Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Lain