suria

Khidmat pegawai pengiring ditarik, Najib ucap selamat tinggal

Najib membalas tabik hormat kepada kepada pegawai pengiringnya sebagai tanda selamat tinggal. - Facebook

PETALING JAYA: Semua pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai bantuan yang bertugas dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa telah ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Najib berkata, khidmat kesemua mereka yang pernah bertugas menyediakan kawalan keselamatan kepada beliau dan keluarga telah ditarik balik sejak beberapa minggu lalu, kecuali seorang pegawai 'Aide De Camp' (ADC) atau pembantu peribadi.

Status yang dimuat naik oleh Najib pada Selasa malam.

"Hari ini (Selasa), saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas (UTK), polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan.

"Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.

"Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini, termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih (menjadi) timbalan perdana menteri," katanya.

Najib mendakap petugas yang pernah berkhidmat dengan beliau. - Facebook

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya pada Selasa malam.

Dalam pada itu, Najib turut memohon agar kerajaan baharu sentiasa menjaga kebajikan kakitangan terbabit kerana mendakwa mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

Setakat ini, posting tersebut telah menerima lebih 17,000 tanda suka (likes) dan mendapat 1,320 perkongsian.

Najib Razak

Artikel Lain