suria

Empat individu diburu behubung kes bunuh di Taman Melati

KUALA LUMPUR: Polis memburu empat lagi suspek bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki, yang mayatnya ditemui di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Melati di sini pada 21 Mei lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata setakat ini, polis menahan seramai 19 lelaki dan wanita berusia 17 hingga 28 tahun sejak hari kejadian bagi membantu siasatan.

Kamal Khan.

Katanya siasatan awal mendapati kematian lelaki berkenaan dipercayai berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan ‘Mat Rempit' dari Pantai Dalam serta Kampung Pandan dan Wangsa Maju pada pukul 4 pagi hari tersebut.

“Susulan salah faham berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan itu dan mangsa dipukul menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal ketika sedang menolak motosikal miliknya.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dipukul menggunakan objek tumpul,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di sini, Isnin.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan  Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada 21 Mei lepas, Mazlan berkata polis menahan 17 remaja termasuk  tiga perempuan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat lelaki yang dikaitkan dengan pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Melati di sini.

Ujian saringan air kencing ke atas semua yang ditahan mendapati dua daripada mereka positif dadah, kata Mazlan Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Patologi berhubung penemuan 53 pil dipercayai erimin 5 daripada pelakon wanita popular berusia 26 tahun pada 6 Mei lepas.

“Ini bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut berhubung kes ini,” katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Kamal Khan Mohd Shariff akan memangku jawatan Ketua Polis Daerah  menggantikan SAC Abdul Ghani Mohamad Ji yang bertukar ke Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain