suria

Gobind: Sokong cadangan RTM siar Piala Dunia secara langsung

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyokong cadangan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan secara langsung Piala Dunia FIFA akan datang.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu penting dalam mengubah dan meningkatkan jumlah tontonan.

"Kementerian saya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar kami dapat kebenaran untuk menyiarkan Piala Dunia secara langsung pada 14 Jun nanti.

"Saya akan membangkitkan isu ini kepada Kabinet pada Rabu 30 Mei dan diharapkan kami akan menerima jawapan yang baik," katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke Wisma Bernama pada Isnin.

Ini berikutan permintaan yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebanyak 32 negara akan bertanding untuk merebut gelaran juara dunia pada acara Piala Dunia pertama yang diadakan di Rusia, bermula 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Gobind berkata, langkah itu adalah salah satu cara untuk mempromosikan lagi RTM.

"Saya fikir ini adalah salah satu cara yang boleh kita gunakan untuk mempromosikan RTM. Saya fikir ini adalah apa yang perlu kita lakukan untuk meningkatkan penonton RTM," katanya.

Piala Dunia 2018

Artikel Lain