suria

Jamal kejar urusan waktu pejabat, tak lari - Peguam

PETALING JAYA: Selepas laporan mengenai Datuk Seri Jamal Yunos kecoh kerana didakwa melarikan diri dari tahanan polis, peguam Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tampil membuat penjelasan.

Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Jamal telah menghubungi pihaknya bagi menjelaskan bahawa dia meninggalkan hospital kerana beranggapan proses ikat jamin telah selesai dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal diburu polis, 'hilang' ketika dalam tahanan

Mohd Imran.

"Beliau telah menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian, beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses 'discharge' untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.

"Beliau juga memaklumkan bahawa masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses untuk sembuh," kata Mohd Imran melalui kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi Ahad.

Jelas beliau, Jamal turut bersedia memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis dan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan proses ikat jamin.

Tambah Mohd Imran, pihaknya percaya telah berlaku salah faham dan situasi itu telah dipergunakan bagi mendatangkan tanggapan negatif terhadap Jamal.

"Beliau tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia memberikan kerjasama sewajarnya.

"Pihak peguam juga telah memaklumkan kepada pihak polis berkenaan perkembangan ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, pemimpin politik kontroversi itu dipercayai melarikan diri daripada tahanan polis ketika ditahan reman di wad premium Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

Pada sebelah pagi Jumaat, Jamal telah didakwa dengan tiga pertuduhan.

Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan sengaja mempamerkan senjata apinya.

Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Jamal Yunos

Artikel Lain