suria

“Kurangkan bercakap, lebihkan bekerja...”

KUALA LUMPUR: Mereka yang terlibat dengan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu mengelak daripada mengeluarkankan sebarang kenyataan umum mengenai status siasatan itu, kata Jawatankuasa Siasatan 1MDB Majlis Penasihat  Kerajaan (CEP).

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman (gambar), yang mengetuai jawatankuasa itu, berkata  sebarang kenyataan umum sepatutnya dibuat kemudian agar ia tidak menjejaskan serta menimbulkan prejudis terhadap siasatan dan mengganggu prosiding mahkamah pada masa akan datang.

“Kurangkan bercakap, lebihkan bekerja. Itulah pandangan saya,” katanya kepada pemberita di luar mesyuarat CEP di Menara Ilham di sini pada Rabu.

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, CEO Perbadanan  Ekonomi  Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood, Pengarah Unit Strategi Kebangsaan Kementerian Kewangan Datuk Dr Aminuddin Hassim dan CEO SME Corp Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim.

Ditanya  sama ada tugas jawatankuasa itu dan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan bertindih, Abu Talib berkata jawatankuasa itu telah menyelaras fungsi agensi berkenaan bagi mengelak berlaku  sebarang pertindihan tugas dan kekeliruan.

Pasukan petugas itu turut dianggotai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan 1MDB CEP ditugaskan  untuk  menyelaras  siasatan  merentasi  sektor bagi memastikan undang-undang diguna pakai secara adil dan saksama serta memberi  nasihat sewajarnya kepada majlis itu.

Diketuai Abu Talib, jawatankuasa itu turut  dianggotai rakan kongsi PwC Risk Assurance Services Nik Shahrizal Sulaiman, rakan kongsi kanan Naqiz  and  Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, penasihat kanan Financial Services Authority Indonesia Faris Rabidin dan pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kronisme Cynthia Gabriel. - Bernama

1MDB

Artikel Lain