suria

Selepas ‘dibuang’ Abdul Hamid kembali sebagai pengarah Cawangan Khas

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Hamid Bador (gambar) pernah dibuang dari Bukit Aman berikutan kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi kini beliau kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdul Hamid meninggalkan pasukan polis sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman tetapi kini kembali untuk memimpin jabatan itu.

Beliau mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (yang bersara), dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Bukit Aman pada pagi Rabu.

Awalnya, kontrak Mohd Mokhtar sepatutnya berakhir pada bulan September tetapi ia tamat lebih awal.

Pada 2015, Abdul Hamid dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memantau isu keselamatan dan transnasional selepas 37 tahun berkhidmat untuk PDRM.

Abdul Hamid dilaporkan berkata bahawa perintah perpindahannya itu tidak didedahkan kepada sesiapa.

Beliau mendakwa bahawa hanya diberitahu untuk melaporkan diri kepada JPM pada 2 Sept 2015.

Kemudian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa pemindahan Abdul Hamid adalah secara paksaan.

Pada sidang akhbar yang diadakan pada tahun yang sama, Abdul Hamid mendakwa terdapat "kuasa yang tidak kelihatan" yang tidak selesa dengannya sebagai orang nombor dua di Cawangan Khas.

Beliau berkata ia mungkin ada kaitan dengannya yang menegaskan bahawa isu 1MDB perlu disiasat sepenuhnya.

Abdul Hamid juga berkata Cawangan Khas telah menasihatkan kerajaan untuk menjelaskan isu itu dengan sebaiknya kepada rakyat dan menggesa mereka yang terlibat di dalamnya untuk turut tampil berbuat demikian.

Abdul Hamid Bador, Cawangan Khas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain