suria

Bersih minta tujuh anggota SPR dipecat

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad segera memecat tujuh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa kehilangan kepercayaan awam dan bersubahat dalam salah laku sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Pemangku Pengerusinya Shahrul Aman Mohd Saari berkata pihaknya turut mencadangkan Perdana Menteri menggantung tugas Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan Timbalannya Tan Sri Othman Mahmood bagi menjalankan siasatan.

"Walaupun terdapat banyak bukti kukuh dan masalah pengurusan dalam PRU14, tidak ada satu pun anggota SPR mahupun pegawai SPR tampil bertanggungjawab.

"Mohd Hashim, Othman dan lima anggota lain sehingga hari ini (Rabu) tanpa segan silu memegang jawatan itu dan tidak mahu mengambil tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kertas cadangan Pelan Tindakan Reformasi Pilihan Raya kepada wakil sekretariat Jawatankuasa Reformasi Institusi di bawah Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohammad Yusof di Menara Ilham, Rabu.

Shahrul Aman berkata Bersih 2.0 turut menyeru Jawatankuasa Reformasi Institusi dan kerajaan segera memberikan perhatian kepada reformasi dan implementasi berdasarkan pelan tindakan itu berdasarkan tempoh 100 hari dan dua tahun berikutnya.  

Bersih 2.0 menekankan tindakan terpenting yang perlu diambil segera adalah untuk mengembalikan kebebasan dan fungsi SPR kerana tiada perubahan yang akan berlaku jika SPR sedia ada dikekalkan, katanya. - Bernama

Bersih 2.0, SPR, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Lain