suria

Tiga lelaki ponteng puasa ditahan

Gambar hiasan.

KUANTAN: Tiga lelaki ponteng puasa ditahan pihak berkuasa di tiga lokasi berasingan di kawasan perindustrian Gebeng tengah hari Isnin.

Dalam operasi Ramadan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) itu, anggota penguatkuasa menjalankan pemantauan di lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki ponteng puasa sebelum menahan mereka.

Pengarah Jaip, Datuk Mohamad Noor Abd Rani berkata, dua lelaki ditahan di kedai makan ketika sedang menikmati makanan tengahari kira-kira pukul 11.45 pagi.

Manakala seorang lagi lelaki ditahan ketika sedang merokok di pusat snoker.

"Semasa ditahan, dua lelaki berkenaan sedang menikmati nasi campur sebelum ditahan.

"Mereka tidak memberi sebarang alasan ketika ditanya kenapa tidak berpuasa,"katanya.

Mohamad Noor berkata, Jaip akan meneruskan pemantauan sepanjang Ramadan terutama di lokasi panas.

Katanya, umat Islam seharusnya menghormati bulan puasa.

Ketiga-tiga lelaki berusia 40-an itu ditahan di bawah Seksyen 22 iaitu Tidak Menghormati Ramadan dan  boleh disabitkan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. - Sinar Harian

puasa, ponteng puasa

Artikel Lain