suria

Tun Hasmah minta henti berikan hadiah

PETALING JAYA: Anak sulung Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa ibu bapanya tidak akan berpindah ke Seri Perdana, sebaliknya kekal menetap di kediaman peribadi mereka.

Marina Mahathir berkata, kediaman ibu bapanya kini dipenuhi dengan hadiah yang disampaikan oleh pelbagai pihak sebagai tanda ucapan tahniah di atas kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kata Marina, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meminta agar beliau menyampaikan pesanan kepada semua untuk tidak lagi menghantar hadiah ke rumahnya.

"Beliau meminta saya untuk menyampaikan supaya tiada lagi hadiah dihantar kerana peraturan dalam kerajaan PH adalah tiada ahli politik dibenarkan menerima sebarang hadiah selain bunga dan makanan.

"...walaupun hadiah itu sederhana, ia masih memakan ruang. Ibu bapa saya tidak akan berpindah ke Seri Perdana, sebaliknya terus tinggal di rumah mereka," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Tambah Marina, Dr Siti Hasmah berharap semua pihak agar memahami permintaannya itu walaupun perayaan Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi.

Menurutnya, Dr Siti Hasmah meminta agar hadiah-hadiah itu didermakan kepada rumah kebajikan kerana ia akan menggembirakan dirinya.

Marina Mahathir, Tun Siti Hasmah

Artikel Lain