suria

Putera Arab Saudi mengaku beri derma tapi...

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum ada jawapan mengenai siapa 'putera' Arab Saudi yang dikatakan memberi derma sebanyak RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, wang tersebut didakwa sebagai wang sumbangan daripada putera Arab Saudi kepada bekas perdana menteri itu.

"Ada surat menunjukkan derma itu datang dari putera Arab Saudi dan berdasarkan surat tu, pegawai kami telah ke sana.

"Dalam SOP (Prosedur Operasi Standard) kami, kami yang kena cari saksi tapi dalam kes ini seseorang telah memperkenalkan putera itu kepada kami untuk bertemu dengannya.

"OK dia mengaku derma, tapi bila ditanya tentang dokumen sokongan, dia tak dapat tunjuk, ikut SOP kena ada dokumen tapi dia tak boleh bagi.

"Apabila balik, kami siapkan dokumen dan serahkan kepada AG (peguam negara) ketika itu (Tan Sri Mohamed Apandi Ali), beliau menolak," jelas Mohd Shukri ketika sidang media pada Selasa.

Pada Januari 2016, BBC London menyiarkan laporan memetik sumber pihak Istana Arab Saudi mengesahkan dana sebanyak AS$681 juta (RM2.6 bilion) pernah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

RM2.6 juta, Najib Tun Razak

Artikel Lain