suria

Tun Juhar buat laporan polis terhadap Musa Aman

Musa Aman. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dipercayai telah membuat satu laporan polis terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Sabtu malam.

Ketika dihubungi di sini Ahad, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan laporan polis itu, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran laporan berkenaan.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei lepas selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada BN berpaling tadah kepada Warisan.

Enggan meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Sabah, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.

Susulan itu, pada 17 Mei lepas, Musa telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Mohd Shafie memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah. - Bernama

Tun Juhar, Musa Aman

Artikel Berikut

Kit Siang tak minat!

Artikel Lain