suria

Sultan Johor namakan semut 'Echinopla Tunku-Abduljalilii'

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perkenan menamakan spesies semut Echinopla baharu yang ditemui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai Echinopla Tunku-Abduljalilii.

Ketua Pusat Pemeliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semula Jadi (CoR-SUNR), Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi UTHM, Prof Datin Dr Maryati Mohamed berkata, spesies baharu daripada jenis kumpulan Echinopla itu dikutip daripada tumbuhan renik di tepi Sungai Bantang, Hutan Lipur Sungai Bantang dekat Labis, Mei tahun lepas.

"Terdapat 15 spesies daripada jenis kumpulan Echinopla di Malaysia dan spesies baharu ini merupakan spesies ke-16 dan kedua dari Johor yang mana spesies pertama iaitu Echinopla Wardi telah dijumpai di Kota Tinggi."

"Spesies ini berukuran 5.48 milimeter panjang dan berwarna hitam. Kebanyakan spesies Echinopla yang lain badannya mempunyai bulu, tetapi spesies Echinopla yang baharu ini tidak mempunyai bulu," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Foto Bernama

Menurutnya, bagi menghargai kejayaan pertama CoR-SUNR dan UTHM atas penemuan spesies baharu itu, Canselor UTHM iaitu Sultan Ibrahim telah dipohon limpah perkenan bagi menamakan spesies Echinopla berkenaan.

"Atas perkenan penamaan spesies ini, International Code of Zoological Nomenclature (IZCN) iaitu sebuah badan antarabangsa yang menguruskan penamaan spesies baharu akan mengeluarkan satu kenyataan pengesahan sekali gus rasmilah nama Echinopla Tunku-Abduljalilii ini," katanya.

Maryati berkata, nama spesies baharu itu akan terus kekal dan hanya akan hilang sekiranya mengalami kepupusan dan jelasnya sebelum ini terdapat penamaan spesies berkaitan dengan keluarga diraja iaitu Rafflesia Tengku-Adlinii yang pernah ditemui di Sabah.

Sehingga kini terdapat 16,000 spesies semut yang telah dinamakan secara saintifik dan terdapat lebih kurang 33 spesies dalam kumpulan jenis Echinopla yang terdapat di Australia, Filipina, Papua New Guinea, Indonesia, India dan Malaysia. - Bernama

Sultan Johor, semut

Artikel Sebelum

Luahan isi hati Najib

Artikel Lain